Rahsia di Sebalik "Kemerahan"



"Tak kenal maka tak cinta"


Itu lah ungkapan yang biasa digunakan oleh abang-abang dan kakak-kakak fasi KRJ yang haibat lagi ohsem pada setiap Kem PAFA(Penilaian Asas Fardhu Ain) yang saya sertai masa sekolah rendah tahap 2 dahulu.

Sangat memberi maksud yang mendalam pada perhubungan dan ikatan dalam sebuah ukhuwah. Cinta yang dimaksudkan bukanlah cinta tercemar pasangan ajnabi tapi CINTA yang dihiasi pelangi ukhwah berwarna-warni. Segalanya bermula dengan ta'aruf  lalu kemudiannya berakhir dengan tangisan perpisahan yang diiringi lagu nasyid 'Keluarga Bahagia'. *Oh,saya seorang ja murid yang nanges ketika itu*



gambar hiasan

Bila sudah dewasa ni, ungkapan bertukar menjadi "Tak kenal maka Ta'arruf"  . Barangkali malu mengungkap perkataan 'cinta' itu. hee

Mohammad Sohaib Bin Murtada tertulis di dalam kad pengenalan, tapi saya lebih tenang gumbira menulis Mohammad Suhaib bin Murtadha sebagai pengenalan diri.



Sejak kecil lagi nama "Suhaib" ni agak janggal bagi kawan-kawan dan cikgu-cikgu sekolah. Macam-macam bunyi yang dipanggil. Syuib . Syuaib . Sohib . Soheb . DLL . Entah kenapa lah Encik Murtadha meletakkan nama yang orang lain begitu tidak kenal untuk anak seorang ini. 

Lama kemudian, baru saya tahu 'suhaib' ini bermaksud "kemerah-merahan" . Maka betambah malu lah saya bila ditanya maksud nama yang hampir sama dengan gelaran Saidatina Aisyah RA, humaira . Nama tidak serupa fizikal rupa . Hah !

Walaubagaimanapun fokus utama entri untuk kali ini bukannya untuk mengenali penulis tapi untuk anda mengenali satu sosok hebat yang punya nama seperti saya.


Suhayb Bin Sinan Ar-Rumi
Terkenal juga sebagai seorang pemanah yang mahir
 

SUHAYB / SUHAIB bin Sinan dianggap salah seorang daripada empat tokoh utama oleh Rasullulah SAW. Selain Bilal bin Rabah dan Salman al- Farisi, Suhaib bin Sinan merupakan salah seorang yang paling awal memeluk Islam. Seperti namanya, beliau tidak berapa dikenali oleh kebanyakan masyarakat muslim kita .

Beliau lebih dikenali sebagai tokoh dari Rom walaupun susur galur keturunannya adalah daripada bangsa Arab. Beliau berasal dari keturunan Arab pada zaman dahulu. Menurut cacatan sejarah, Sinan bin Malik dan seorang bapa saudaranya merupakan pemimpin di suatu kawasan di Sungai Dajlah, termasuk dalam wilayah Kerajaan Parsi.

Dalam salah satu pertempuran dengan tentera Rom, Suhaib yang ketika itu masih kecil, ditawan dan dibawa ke Rom.

Bersama Ammar di rumah al-Arqam

Suhaib dibesarkan di Rom sebagai tawanan perang dan kemudian dijual sebagai hamba kepada seorang ketua suku Kalb. Beliau kemudiannya menjual Suhaib kepada Abdullah bin Jaz'an. Abdullah berasa kagum dengan keperibadian Suhaib lalu beliau dibebaskan dan diajak olehnya untuk bersama-sama menjalankan perniagaan.

Kisah keislaman Suhaib diketahui ketika beliau bertemu dengan Ammar bin Yasir berhampiran dengan rumah Al-Arqam bin Abi al-Arqam, tempat yang menjadi markas Nabi Muhammad SAW dalam menjalankan dakwah baginda.

Perniagaan yang paling menguntungkan

Setelah Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah bersama-sama dengan Abu Bakar al-Siddiq, Suhaib turut berhijrah bersama rombongan yang diketahui Ali bin Abi Talib; beliau telah diseksa toleh beberapa orang pemuda Quraisy.

Suhaib telah menawarkan untuk memberitahu tempat beliau menyimpan hartanya kepada pemuda-pemuda tersebut sebagai balasan sekiranya beliau dibebaskan untuk berhijrah ke Madinah. Tawarannya diterima oleh pemuda-pemuda tersebut, lalu Suhaib bebas untuk pergi ke Madinah.

Sebaik sahaja beliau sampai ke Madinah, beliau terus berjumpa dengan baginda Rasulullah saw yang menyambut kedatangan beliau dengan berkata, "Sungguh beruntung perniagaan Suhaib."

Perbuatan Suhaib itu telah dimaklumkan oleh Allah kepada Rasulullah saw yang membawa kepada turunnya ayat 207, surah al-Baqarah yang bermaksud: "Dan di antara manusia, ada yang menjual dirinya kerana hendak mencari keredaan Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penyayang kepada sekalian hamba-Nya."

Menggantikan Saidina Umar sebagai Imam

Suhaib dianggap di antara sahabat yang rapat dengan baginda Rasulullah SAW. Beliau turut menyertai semua peperangan yang dipimpin oleh Rasulullah dan sentiasa berada di sisi baginda, bagi menjaga keselamatan baginda.

Apabila Rasulullah wafat, Suhaib terus berbakti kepada Islam dengan mendampingi Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan Khalifah Umar al-Khattab. Ketika Umar al-Khattab cedera parah ditikam, Suhaib telah dilantik untuk mengimami umat Islam mendirikan solat.

Hal ini jelas menunjukkan betapa besarnya penghormatan yang diberikan oleh Umar al-Khattab kepada beliau dan juga menunjukkan bahawa Suhaib tergolong dalam tokoh sahabat yang istimewa.
 
************************************************


Broga Hill

Maka rahsia di sebalik "kemerah-merahan" ini bukanlah pada maksud kalimahnya tetapi terletak pada sirah kisah pemilik awal empunya nama  .

Beliau yang sanggup menjual dunianya kerana sebuah mardhatillah . Mendapat penghormatan bukan sahaja daripada para sahabat, malah Rasulullah dan Allah sendiri. Jauh sekali beza kita sekarang dengan para sahabat Rasulullah.

Daripada situlah jua lah termotivasinya diri bagi meneruskan legasi dalam pemburuan redha Ilahi bersama anda2 sedunia.


Moga Allah redha !

No comments:

Post a Comment